Wednesday 26 December 2012

Membongkar diari lama



Haha.. malu la nak cerita.. Hmm.. diari saya. yang saya tulis masa belajar kat Mesir dulu. Tengah tension-tension study campur rindu kat Malaysia. Agak teragak-agak nak taip balik sebab banyak kisah suka duka kat situ. Tapi bila dibaca semula, saya rasa, eh, saya tak ingat pun cerita ini. Sungguh. Tapi, dah saya yang tulis dulu. Mestilah benda tu wujud. Dan bila dibaca semula, saya rasa, Ya Allah, aku sedar, nak capai sesuatu, kita kena lalui segala susah payah, yang bila, bila aku sampai tahap ini, aku tak ingat, aku lupa semua susah payah tu. Sepanjang saya menaip semula diari ini, beberapa kali saya rasa saya nak batalkan niat saya untuk publishkan diari ini sebab malu malu malu sangat dengan cerita lama saya. Tapi sebab suami kata cerita ni ok, haha! Alamak! Nak publish ke tak nak ni? Haha! Adush! Sebagai apa entah saya nak publish. Ada perkongsian pengalaman sebenarnya di situ.

Diari ni ditulis dalam keadaan saya sangat! sangat! sangat! Rindukan family!

Tanpa ada edit ayat insya’ Allah!

**********

Lamanya nak tunggu bulan 9. Seronoknya masa tu. Nak balik Malaysia. Waktu tu keluarga kat Malaysia pun tak sabar nak tunggu kita balik.

Seronok bila dah habis periksa nanti. Merdeka! Merdeka! Merdeka! Aku bebas!

Seronoknyalah kalau dapat natijah best. Jangan beranganlah kalau ko malas.

Tapi paling-paling seronok balik Malaysialah. Alangkah syahdunya masa tu. Nak meninggalkan Mesir. Naik kapal terbang. Melalui balik jalan-jalan yang aku lalui sejibik semacammana aku mula-mula datang Mesir. Membimbit balik beg yang aku bimbit semasa datang ke Mesir. Kat atas almari sekarang dia. Dan yang paling seronok sekali. Ketibaan kapal terbang ke klia. Oh Malaysia tanah airku. Aku kembali. Dan dari jauh aku nampak insan-insan yang selama ini hanya lahir dalam mimpi-mimpi tidurku. Yang setiap kali aku terjaga. Aku mencarinya. Kenapa mereka tiada dihadapanku. Dan waktu itu.. Sungguh! Aku bukan bermimpi. Mereka memang benar-benar berada dihadapan mataku.

Cakap pasal melalui balik jalan-jalan yang aku lalui dulu. Teringat pulak aku. Masa mula-mula aku datang sini dulu. Aku dah kata. Nanti kang. Tau-tau je. Aku dah ready nak balik. Cepat je masa berlalu kan? Aku nak cerita dari mana ye? Mestilah dari rumah kan? Dan jalan ini pastinya aku titip sampai ke rumah juga. Hari aku nak pergi tu jugak baru aku nak kemas barang. Aku pasal packing-packing barang, aku tak tau kenapa, mesti aku tak lulus. Semua barang aku orang lain yang kemaskan. Aku cuma kumpul-kumpul je. Masa nak tauzi’ Mansurah pun. Aku tak reti-reti packing barang. Pun orang lain yang packingkan. Tak taulah macamana nak balik Malaysia nanti. Aku nak tengok nanti siapa yang packingkan. Aku sendiri atau orang lain. Yang aku nak cerita kat sini. Aku ada bawak bunga. Bunga yang boleh dikategorikan sampah. Dan aku masih simpan bunga tu. Ala… bunga kenduri yang dah tercabut dari batangnya. Bunga tu nanti, aku nak bawak balik Malaysia. Dan aku nak letakkannya kat tempat asalnya. Kat lantai. Sebagai sampah yang bersepah kat rumah aku. Dan itulah secara rasminya penghujung memori aku di Mesir. Yang tinggal selepas itu hanyalah kenangan. Bunga tu bukan sengaja aku bawak. Wak Asrok yang kemaskan barang aku.bunga tu tak sengaja bercampur dengan barang yang aku kumpulkan. Saje je dia buat lawak masukkan bunga tu dalam kotak. Aku dah keluarkan. Lepas tu dia masukkan balik.

Suasana kat klia macam biasalah. Aku tak heran mana sebab selalu sangat aku round klia. Cuma, tiba masanya aku turun. Pastinya aku salam dulu dengan saudara-mara aku. Dengan bismillah aku turun. Nanti, macamana aku tengok diorang kali terakhir, macam tu jugaklah aku akan disambut oleh insan-insan yang dah lama aku rindu.

Aku akan lalui balik jalan-jalan yang aku lalui dulu untuk sampai ke Mesir. Pastinya aku kata, lorong-lorong di klia inilah dulunya yang aku lalui masa aku adik baru dan lorong-lorong di cairo airport inilah juga dulunya jalan yang aku lalui yang menyambut aku ketika aku mula-mula sampai ke Mesir.

Aku tak macam orang lain yang selalu saje pandangan diorang meleset tentang Mesir. Sebelum sampai Mesir, diorang bayangkan macam-macam. Tapi bila sampai sebaliknya. Aku biasa-biasa je. Takde rasa pelik atau apa. Sebab aku ramai member Mesir. Aku selalu tengok gambar-gambar diorang kat Mesir. Dan selalu dengar cerita-cerita dorang pasal Mesir. Bila aku tengok sendiri dengan mata aku. Aku cuma kata. Oo.. inilah dia yang diorang cerita dulu. Dan sebenarnya aku dah tau banyak bahasa-bahasa ammi Mesir sebelum aku datang sini yang aku dengar dari member-member aku tu lah. Pasal tu aku boleh paham sikit-sikit apa arab kata. Tapi sekarang ni, aku rasa, akulah orang yang paling tak reti cakap Mesir kalau nak bandingkan dengan kawan-kawan aku yang lain. Sebabnya aku fobia betul dengan arab. Tu yang jadinya aku jadi orang paling pendiam dalam kelas.

Perasaan aku masa mula-mula sampai. Aku tak rasa aku dah kat Mesir masa tu. Dan alhamdulillah. Aku tak lah kronik ingatkan Malaysia. Dalam bas dari cairo airport ke rumah Perak, aku cuma tengok luar, dengar ustaz cerita pasal Mesir, lepas tu aku tidur. Bukan apa, aku pening kepala sebab baru lepas turun kapal terbang. Dari rumah Perak ke rumah Selangor pun aku cuma tengok-tengok macam ni rupanya rupa Mesir.

Seminggu aku pening kepala. Rasanya macam aku duduk lagi kat kapal terbang. Pusing-pusing. Dan setiap tidur aku, aku mimpi, aku ada 2 madah lagi nak periksa. Aku tak study lagi. Dan aku ingatkan diri aku supaya baca habiskan kitab tu. Dan aku takut, aku tak dapat pergi Mesir. Dan setiap kali aku bangun, aku istighfar, kan aku sekarang ni kat Mesir. Kenapa mimpi macam tu lagi? Aku keluar ke balakon. Aku tengok sekeliling. Inilah Mesir. Aku kat Mesir sekarang. Aku dah kat Mesir.

Satu lagi, aku selalu mimpi, bunga yang aku tanam kembang tak jadi. Aku ada tanam bunga sebelum aku datang sini. Tapi aku tak sempat tengok dia berbunga. Tapi aku nampak dah dia dah berputik. Tu lah aku pikir. Mesti waktu tu dah berbunga. Dan aku nampak dia berbunga dalam mimpi. Tapi dia tak jadi molek. Seminggu lepas tu, adik aku datang dari Malaysia. Dia cerita, bunga yang aku tanam dah kembang. Tapi yang mula-mula tak jadi. Yang kemudian-kemudian baru jadi cantik. Mak pesan suruh bawak. Suruh tunjuk kat aku. Tapi dia lupa. Tak apalah. Asal kembang cantik. Aku dah senang hati.

Kalau ikutkan, demi keluarga aku, jauh sekali aku nak pilih Mesir sebagai destinasi aku seterusnya. Yang pastinya langsung tak tersenarai dalam perancangan aku. Tapi Allah itu Maha Kuasa. Inilah benda paling aku tak sangka dalam hidup aku. Macamana aku boleh sampai sini? Padahal ‘zero’. Langsung tak terpikir dalam otak aku. Kaki aku yang melangkah. Tangan aku yang menulis. Jadi, inilah jalan aku.

Waktu tu, aku pikir, aku tak kan kembali ke kisdar lagi sebagai seorang yang bergelar ‘student kisdar’. Aku dah ready balik kampung merdekaku. Semua ‘hagah’ku bersih. Tak satu pun aku tinggalkan kat rumah sewa aku. Selamat tinggal rumah sewaku. Selamat tinggal Shah Alam. 2 tahun aku duduk Shah Alam. Kejap je rasanya. Cuma 1 tak beres lagi. Aku belum ambik tesis kebanggaanku dari ayahanda penyelia latihan ilmiahku. Doktor Yusuf Khalid, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam. Sampai petang aku lepak luar. Menunggu kereta dia. Kereta ada, orang takde. Pergi mana ayahanda aku. Walaupun waktu pejabat sampai pukul 5, tapi sampai pukul 6 kereta lecturer-lecturer ni tak balik-balik lagi. Aku tetap tunggu. Tak kan tak nak balik kot. Mengikut logik akal aku, tak kan diorang tak balik lagi sampai pukul 7 nanti. Takpe, aku sanggup tunggu sampai pukul 7.30. Aku nak balik kampung esok ni. Nak tak nak aku kena ambik tesis aku petang tu jugak. Tapi awan mendung semacam. Mendungnya seakan-akan turun hujan yang selebat-lebatnya. Aku tak bawak payung. Rumah aku jauh. Aku kena balik jalan kaki pulak tu. Aku takut hujan turun dulu sebelum aku sampai rumah. Jadi aku tukar plan aku. Aku akan ambik tesis aku waktu cuti nanti.

Suasana kisdar lama lengang. Kalau dulu, setiap lorong-lorong ini penuh dengan student-student kisdar ke hulu ke hilir sibuk dengan kerja masing-masing. Kejar kelas, pergi kafe, maktabah, lab komputer, pejabat, pejabat lecturer, balik asrama. Busy. Aku pun agaknya waktu tu tengah pening kepala dengan assignment, pembentangan, ujian dan macam-macam. Tapi hari ni, kisdar lengang. Aku tengok staf-staf sibuk punggah barang. Kisdar nak pindah. Pindah Bangi. Kisdar Shah Alam dah takde lagi. Kisdar Shah Alam hanya tinggal tapak dan akan bertukar menjadi institusi pentadbiran lain. Aku tak pasti apa dia. Selamat tinggal kisdar Shah Alam. Walaupun sekarang kisdar Shah Alam dah takde, tapi aku masih ada. Akulah generasi ke-4 kisdar Shah Alam. Aku lalui lorong-lorong yang menuju ke pejabat lecturer. Aku melintasi deretan papan kenyataan. Aku selalu singgah sini setiap kali aku lalu jalan ini. Mana tau ada iklan-iklan baru. Tapi hari ini, iklan-iklan tu dah takde pentingnya buat aku. Aku bukan student kisdar lagi. Tapi disebabkan aku terbiasa membaca iklan kat sini, aku singgah jugak. Saje je aku nak baca memo-memo untuk junior-junior aku. “perhatian kepada lepasan kisdar yang ingin melanjutkan pengajian ke Mesir”. Aik! Ada jugak iklan untuk aku rupanya. Tapi aku memang tak nak pergi Mesir. Iklan tu kata, siapa berminat bagi nama kat pejabat. Dalam perjalanan ke pejabat tu, kepala aku berpikir. Aku nak bagi nama ke tak. Mula-mula tu aku kata tak payah. Sambil-sambil tu aku kata. Ala… isi je. Suka-suka. Kalau dapat tak payahlah ambik. Sampai pejabat tu, aku mintak kat kerani tu tesis aku. Siapa pulak nama dia. Lupa pulak. Kerani tu satu-satunya kerani yang disenangi oleh student-student kisdar. Baik dan berbudi bahasa. Cantik pulak tu. Tapi aku dengar sekarang dia dah pindah. Kawin kot. Staf-staf lain, ramai yang kitorang tak suka. Berlagak. Macam bagus sangat. Lepas tu dengan ringannya mulut aku bertanya tentang iklan kat luar tu. Dan tangan inilah yang menulis nama aku sendiri. Dan itulah takdir aku. Yang mencampakkan aku ke sini. Benda inilah yang buat aku percaya pada takdir setiap apa yang aku lakukan. Sama ada sengaja atau tak. Malah pada perkara-perkara kecil lagi remeh temeh. Mungkin dari tindakan kecil aku membuatkan hidup aku berubah. Memang aku tak nampak buat masa-masa terdekat ni. Mungkin makan masa bertahun. Contohnya peristiwa yang berlaku 2 tahun lepas. Gerak hati aku pada tahun 2000 tu merubah hidup aku pada tahun 2002. Siapa sangka aku bergelar mahasiswa al-Azhar. Universiti tertua di dunia.

Balik dari kisdar tu, aku bagitau mak bapak aku. Aku bagi nama kat pejabat nak pergi Mesir. Bapak aku macam gembira dengan berita tu. Tak lama lepas tu, permohonan aku untuk masuk ‘u’ gagal. Aku rancang nak try mohon balik pada sesi akan datang. Tapi beberapa bulan lepas tu. Kisdar panggil ada perjumpaan pelajar-pelajar yang akan ke Mesir. Aku yang datang dengan niat nak dengar-dengar je rupa-rupanya bapak aku bersungguh-sungguh dan begitu ‘bungah’ nak sekolahkan aku kat Mesir. Rupa-rupanya semasa taklimat tu, hati bapak aku berbunga-bunga. Dalam perjalanan balik dari taklimat tu. Bapak aku kata dengan penuh azam dia akan usahakan sungguh-sungguh semua urusan aku ke Mesir. Balik ke rumah, mestilah perkara ini diberitahukan pada keluarga. Tapi aku rasa ada orang tak setuju. Mestilah mak dengan nenek aku. Tapi diorang tak kata apa. Diam je. Aku tau, diamnya beri kesan pada hatinya. Mestilah dia rindu kat aku. Esok tu ‘a’la tul’ kitorang terus keluar siap-siapkan semua dokumen yang diperlukan. Pasport, cabutan surat beranak, bank draf, gambar dan apa-apa yang patut. Baru aku tau susah rupanya nak uruskan semua tu. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi hasilnya… aku tak dapat pergi Mesir.

Kisah aku tak dapat pergi Mesir merupakan salah satu daripada antara perkara pahit selama aku duduk kat dunia ni. Dalam ramai-ramai yang tak dapat pergi tu, aku rasa akulah yang paling steady. Kisahnya seminggu sebelum jadual penerbangan aku ke Mesir. Sape tak sedih, tinggal seminggu je beb. Alasannya sebab course tak muadalah. Sebab syu’bah kat Mesir tak sama dengan kisdar. Kat Mesir syu’bah dia usuluddin ada 3. Tafsir, hadith dan falsafah. Tapi kat kisdar usuluddin cuma 1 tu je usuluddin. Jadi, kisdar kena betulkan balik course tu tahun depan.

Hari perjumpaan pen’cancel’an aku ke Mesir, asalnya aku rasa masa depan aku dah musnah. Tapi dia ada mencadangkan 3 tempat lain untuk melanjutkan pelajaran. Insaniah di Kedah, Marsah di Johor dan Madiwa di Perak. Aku rasa Marsah dan Insaniah begitu jauh. Aku berminat dengan Madiwa. Nama macam tak sedap. Sungguh. Tu yang aku rasa masa mula-mula sekali dengar namanya. Aku terus ‘cup’ waktu perjumpaan itu jugak. Kawan-kawan aku terkejut. Aku buat tindakan cepat sangat. Pikir-pikir dulu bincang dengan keluarga. Tapi aku yakin. Aku yakin benar. Keluarga aku bersetuju dengan pilihan aku. Aku terus kata confirm masa tu jugak.

Macamana aku nak bagitau bapak aku. Bapak aku tengah tunggu kat luar. Setiap kali ada perjumpaan, bapak aku mesti ada sama-sama dengar taklimat tu. Bapak aku terlalu bersemangat mengalahkan aku. Macam dia pulak yang nak pergi Mesir. Aku segan jugak sebenarnya. Aku sorang je yang bawak bapak setiap kali perjumpaan. Tapi bapak aku kata dia nak dengar. Dia nak dengar secara life setiap inci perkembangan aku. Tapi hari tu aku masuk sorang. Bapak aku tak masuk sekali dengar berita dukacita itu. Sebab bapak aku bawak baby. Adik aku Rashdan. Masa tu dia 8 bulan. Mestilah tebal muka aku kalau dia bawak sekali. Ni majlis formal pak. Mana taknye. Sepatutnya aku jaga adik aku petang tu. Mak bapak aku ngajar. Tapi disebabkan kisdar telefon pukul 10 pagi, suruh datang pukul 3 petang tu, mestilah semua perancangan dibuat secara drastik. Kisdar tu bukan dekat. Makan masa berjam nak sampai dari rumah aku. Lastnye, bapak aku ponteng kerja. Adik kecik aku dibawak sekali.

Keluar dari taklimat tu, aku carik bapak aku. Manalah dia lepak ni. Rupanya dia lepak kat kafe. Dengan adik aku. Ish, dahlah member aku ramai lagi kat sini. Aku budak express. Pasal tu aku graduate awal. Member-member aku ada lagi 1 semester kat kisdar. Yang ambik management pulak ada lagi setahun kat kisdar. Tengok bapak aku bawak baby mestilah aku segan. Ni bukan kat rumah. Ini kat tempat rasmi. Institusi Pengajian Tinggi. Ish, 10 kali aku tebal muka. Aku terus pergi dapatkan bapak aku. Aku dokong adik aku. Aku tau ramai yang pandang. Nak tak nak, aku buat muka selambe. Bapak aku tanya. Apa cerita. Aku rasa hal ni tak boleh nak cover-cover. Kena cakap straight. Aku cakaplah straight. ‘tak jadi pergi’. Aku tau dia terkejut. ‘tak kan kot’. Mana aku tau. Dah dia kata tak jadi. Tak muadalah. Aku tau perasaannya. Dan aku rasa dia cuba memahami perasaan aku. Mungkin dia takut aku sedih sampai tahap kronik. Aku sebenarnya biasa-biasa je. Aku kan jenis relax dan penyabar dalam menghadapi sebarang ujian.

Dalam perjalanan, bapak aku pesan, jangan bagitau mak dulu. Kita ambik mak kat sekolah. Kita bincang sama-sama. Rumah nenek jadi medan perbincangan. Semua keluarga aku termasuk Wak Asrok semua ada. Bapak aku buka mulut. Cerita apa yang berlaku. Semua pasang telinga. Mencari penyelesaian. Rupa-rupanya wak aku dah kenal dengan Madiwa. Dia kata bagus. Tak cukup dengan itu, masalah dibawa ke Jenjarom. Rumah Wak Mirah. Kakak bapak aku. Tempat bapak aku mengadu masalah. Keluarga dia semua dengar. Termasuk Ary dan Kak Limah. Rupanya Kak limah pun kenal Madiwa. Madiwa glamor kat Mesir. Takde apa pun yang penting mesyuarat keluarga ni. Cuma nak bagitau aku tak dapat pergi Mesir.

Petang tu, ada panggilan untuk aku. Kak Faizah telefon. Dia dapat maklumat tentang Madiwa. Nombor telefon dan alamat dia sekali. Dia carik sendiri semua tu. Jadi, apa tindakan kita seterusnya. Bapak aku memang cepat dalam bertindak. Dia selalu buat keputusan drastik. Tu yang aku pun selalu terikut-ikut. Aku malas nak pikir panjang-panjang. Kalau ada perkara yang perlukan pilihan, biasanya aku buat keputusan waktu tu jugak. Nasib baik Kak Izah telefon petang. Kalau tak, hari tu jugak aku dah sampai Madiwa.

Pagi Jumaat tu, pagi-pagi lagi kitorang dah bertolak. Sebelum tu singgah rumah nenek dulu. Mintak restulah konon-kononnya. Bapak aku sebenarnya tak tau pun Madiwa kat mana. Tapi dia memang jenis kuat tawakal dan kuat berjalan. Prinsipnya, selagi tak sesat, selagi tu tak tau jalan. Kitorang baru je ada kereta.  Rezeki lebih. Sebelum tu, pergi balik kisdar, naik motor buruk bapak aku je. Melihatkan keadaan kitorang, mestilah wak aku kesian. Mulanya kitorang ingat nak ganti-gantilah pandu kereta. Kalau bapak aku penat, ganti aku pulak. Wak aku pun menawarkan diri temankan sekali hantar aku. Boleh tukar-tukar driver. Aku pun bukan pandai sangat bawak kereta. Lepas tu singgah Jenjarom. Rumah Wak Mirah. Adalah 2-3 pesanan untuk aku belajar jauh-jauh ni. Sambil-sambil tu dia bagilah duit belanja sikit. Dapat je panggilan telefon dari Kak Izah semalam tu, aku terus kemas barang. Baju-baju dan dokumen-dokumen je. Barang-barang keperluan lain beli je kat Perak nanti. Malam tu bersiap apa yang patut. Pagi tu pagi-pagi lagi terus pergi.

Malam tu aku sampai ke Bagan Serai, Perak. Syahdu je rasanya. Inilah tempat aku. Aku seronok tengok rumah-rumah kampung kat situ. Macam kampung aku. Dengan pokok-pokok. Aku suka suasana macam ni. Aku tak tau mana wak aku nak ajak kitorang. Rupanya wak aku tu kenal budak-budak Madiwa dan lecturer-lecturernya. Mula-mula sekali kitorang pergi rumah Kak Am dan Kak ijan. Orang Banting. Anak murid wak aku. Wak aku yang rekomen-rekomenkan diorang ke Madiwa. Kitorang jadi tetamu diorang.’Taman Serai Wangi’ namanya. Malam tu kitorang rehat-rehat kat situ dan tidur situ. Bapak dan wak aku pergi rumah Ustaz Mansor. Dan dia bagi rumah kejap untuk wak dan bapak aku tidur. Alhamdulillah, sampai jugak aku ke Bagan Serai. Tempat yang bakal menjadi medan persinggahan aku.

Pagi tu aku daftar. Aku budak kisdar yang mula-mula sekali daftar. Ahlamdulillah lepas tu semua budak-budak kisdar yang lain yang ketinggalan kapal terbang mendaftar di Madiwa. Sejuk hati aku. Lepas daftar, aku carik barang. Barang keperluan harian. Lepas tu terus tengok asrama. Asrama aku biasa je. Asrama kayu. Aku disambut oleh budak-budak pra kat situ. Peramah-peramah semua. Bila aku sampai asrama maknanya selesailah sudah tugas mak bapak aku hantar aku ke sini. Masa diorang nak balik tu, mak aku nangis. Ish, rosak program aku. Aku datang sini nak belajar rajin-rajin. Kalau mak aku tak boleh senang, aku pun susahlah nak senang. Tapi itulah pengalaman aku mendaftar di Madiwa.

Aku nak cerita pulak macamana aku mendaftar di kisdar. Takde yang best pun dalam cerita ini. Semua biasa-biasa je. Sebelum aku masuk kisdar, aku duduk tingkatan 6 dulu. Lama jugak. Dekat setengah tahun. Sampai habis periksa pertengahan tahun. Habis je periksa, sekolah 2-3 hari, lepas tu cuti pertengahan penggal. Masa cuti itulah aku meluangkan masa untuk mendaftarkan diri ke kisdar. Sebenarnya periksa tu aku cuma ambik 1-2 madah awal je. Masa periksa tu aku demam. Jadi, tak larat nak pergi sekolah. Jadinya madah-madah lain aku tak ambik. Kawan-kawan aku yang lain ingat aku dah berhenti sekolah sebab tak ambik periksa. Elok-elok je semalam tu habis exam, esok tu aku pergi sekolah lengkap dengan pakaian seragam. Pelik le member-member aku. Aku jawablah aku demam. Dan madah-madah tu aku akan ambik bila aku ada kelapangan. Tapi rezeki aku nak ambik periksa tu tak dapat sebab aku cabut pergi kisdar. Kebetulan kisdar tu pendaftarannya masa cuti. Sepanjang cuti seminggu itulah aku berkubang dengan minggu orentasi kisdar. Habis seminggu tu, kitorang semua balik kampung. Esok tu sekolah bukak. Boleh je aku nak pergi sekolah balik sebab masa tu aku tak berenti sekolah lagi. Tapi aku tak lah buat lawak sampai macam tu sekali.

Mula-mula dapat tawaran kisdar tu, wei, kecoh kau. Macam orang dapat ‘u’. he..he.. tapi kolej je pun. Meriah jugak rumah aku dengan sanak saudara. Ye lah, masa tu jarang orang dapat sambung belajar. Dah kira jadi kebanggaan keluarga. Tapi sekarang ni kalau setakat diploma orang tak heran mana.bapak aku sewa teksi hantar aku pergi kisdar. Nasib baik aku pernah pergi kisdar sebelum ni. Akulah jadi tukang tunjuk jalannya. Masa nak pergi dari rumah tu keluarga nangis-nangis ni. Wak-wak aku, jiran sebelah rumah, mak, bapak, nenek semua nangis. Aku tak nangis sebab aku malu nak nangis. Dah nak menitis aku tahan. Tapi sekarang ni kalau dipikir-pikir. Hek elleh.. dekat je pun. Shah Alam je. Tu pun sampai bersyahdu shahdan.

Masa pendaftaran tu, aku rasa diri aku baru. Yelah, jadi ahli baru, dengan semangat baru, jiwa baru, serba serbi baru. Aku nampak ramai kawan-kawan lama aku pun ada mendaftar sama. Meriah. Aku rasa dalam ramai-ramai budak baru ni. Budak samttar paling ramai. Mestilah aku seronok. Sebab geng aku ramai. Tu je lah. Takde apa-apa cerita pun. Lepas habis mendaftar, startlah minggu orientasi.

Zaman aku, minggu orentasi perit. Senior-senior ni memang nak bunuh kitorang kot. Seminggu kitorang tak dibagi mandi dan membasuh. Badan masing-masing bau macam zibalah. Asrama siap tak berkipas lagi. Sengsara. Haus gila. Sampai tahap kritikal. Kalau ada ceramah tu sampai ‘ee.. sedapnya air mineral tu’. Cawan air kitorang kecik sangat pulak tu. Masa makan, secawan tu je dia bagi. Budak laki lagilah. Sampai jadi isu hangat pasal diorang minum air paip tak tahan dahaga. Sikit-sikit kena denda, sikit-sikit kena denda. Denda yang kitorang tak boleh terima. Kitorang macam orang bodoh je. Tak padan dengan kesalahan. Kadang tu tak buat salah pun. Kena denda jugak. Masa dah lah pack sangat. Kelam kabut nak mampos. Lambat, denda. Siap kena maki hamun. “lembab! Tembel!” kena sejibik. Kena marah teruk-teruk. Tak pikir dah perasaan orang. Siap dengan bahasa kesat. Tu ke cara nak tarbiyah orang? Kitorang dipaksa tak boleh tidur. Memang program tu penuh paksaan. Kalau ada ceramah tu, disiplin siap round. Siap siapa tidur. Tapi kitorang memang tak cukup tidur. Paling sedih rupanya ada antara kitorang yang tak jaga solat. Demi masa, solat tak ambik wudhu’. Alhamdulillah setiap kali solat, aku sempat ambik wudhu’. Tapi solat aku dhoif. Aku ngantuk. Waktu berdiri pun aku boleh tidur, terer tak. Kalau kena ketuk ketampi tu, sampai ketar-ketar kaki. Banyak sangat. Siap ada yang pengsan sebab kena ketuk ketampi 40 kali. Tapi lepas orentasi tu, memang jadi dendamlah kat kitorang pada senior-senior kitorang. Diorang amat jauh dalam hati kitorang. Gap kitorang memang luas. Setahun hati ni sakit. Siap korang. Kitorang ni ramai. Batch kitorang sahaja 400 orang nak bandingkan dengan diorang 200 kalau dicampur batch 1st, 2nd dan 3rd. Perang dingin kitorang sebenarnya panas. Asrama pun, kalau ikut diorang nak yang class-class. Elleh, boleh bla! Suara hati kiorang akhirnya tertafsir semasa pilihanraya. Tak malu ke ‘hamba Allah’ tu dapat jumlah undi dhoif dengan angka ‘0’ dari puak-puak kitorang. Tapi dia dapat angka jugak. Mungkin orang yang terpangkah dia tu bukan dari puak kitorang. Saya rasa mungkin itu pengalaman best ‘hamba Allah’ tu belajar kat kisdar. Sayonara untuk awak.

Dalam banyak-banyak pengalaman aku, usia 18-20 paling mencabar. Aku tak tau mungkin ada cabaran-cabaran lebih best lagi selepas ni. Aku masih muda. Umur aku baru 22 tahun. Jalan untuk aku tempuh masih panjang. Sepanjang aku kat kisdar.setiap kali cuti semester mesti aku busy. Dengan hal peribadi. Cuti pertengahan tahun aku yang pertama, boleh dikatakan aku relax sikit. Cuti 5 minggu. 2 minggu pertama dan akhir aku kat rumah. Minggu ke 3, aku kursus komputer kat kisdar seminggu. Tu je. Cuti akhir tahun 3 bulan. Aku ambik express. 2 kali. Tahun 1 dan tahun 2. Cuti pertengahan tahun tu yang aku busy. 5 tugas dalam tangan aku. Asalnya sepanjang cuti 5 minggu tu aku ada kerja kat kisdar. Persiapan konvokesyen ke-2. Tapi aku tarik diri sebab aku ada banyak kerja lain. Malam nak balik kampung tu. Aku ada mesyuarat konvo. Balik pukul 12 tu. Bait aku buat party. Sempena birthday 2 orang ahli bait kami dan majlis akhir semester. Macam-macamlah program kitorang buat. Buat persembahan sorang-sorang. Sampai pukul 3 baru tidur. Esok pagi tu aku tunggu bapak aku tak sampai-sampai. Janji pukul 8 nak ambik. Pukul 10 baru sampai. Rupanya mak aku masuk hospital malam tu. Tumpah darah. Mak aku masa tu tengah ngandungkan adik aku Rashdan. Kitorang terus ke hospital Banting. Sampai-sampai je. Bapak aku terus tidur kat kereta. Kesian dia. Malam tadi sampai pukul 3 berjaga uruskan mak. Sampai dekat zohor baru dia bangun. Aku pulak sebagai tugas aku, melayan orang yang datang ziarah. Zohor tu, kitorang adik beradik balik rumah. Solat kat rumah. Kat rumah aku tidur. Bapak aku siapkan pakaian dan keperluan untuk mak aku. Malam tadi tak sempat sebab urgent. Bapak aku kejutkan aku ajak pergi hospital. Aku pun tak tidur malam tadi jugak. Mesyuarat dan majlis tu lah. Aku tak larat dah nak pergi hospital. Bapak aku dah dan tidur kat hospital tadi. Jadi, dia pergi dengan adik-adik aku je. Aku kat rumah tidur.

Hari isnin tu mak aku kat hospital lagi. Dah 3 hari. Hari ni semua sekolah. Pagi-pagi lagi aku kena siap-siapkan pakaian dan sarapan adik-adik aku. Gosok baju bapak dan baju sekolah adik-adik aku. Lepas tu hantar diorang pergi sekolah. Selalunya yang buat kerja ni mak aku. Bila adik aku dah pergi sekolah semua baru aku rasa lega. Settle kerja aku. Alamak, baru aku teringat. Aku ada kelas driving hari ini. Aku kelam kabut siap-siapkan orang, diri aku tak siap-siap lagi. Aku terus bersiap. Dan dengan bismillah aku baru nak mendaftar sebenarnya. Belajar bawak kereta. Balik dari belajar kereta, aku ingat aku boleh rehat. Rupanya aku tak masak lagi. Bapak dengan adik-adik aku balik mesti diorang lapar. Siap masak, ambik adik-adik aku kat sekolah. 3 orang sekali 1 motor engko. Dengan beg besar-besar kat depan. Sepatutnya pagi tu aku siap-siapkan sarapan untuk budak-budak ‘pasti’. Tapi disebabkan aku ada kelas driving aku tinggal semua. Balik-balik tu, dapur aku dah penuh dengan cawan-cawan kotor dan talam-talam bekas diorang makan. Rupanya mualimah tu sendiri yang masuk dapur aku, masak air, siap-siapkan sarapan budak-budak tu. Ish, malu la pulak aku. Selalunya makanan-makanan diorang mak aku yang uruskan. Tak apalah. Masa susah ni, sama-samalah kita tolong-menolong.

Aku sebenarnya ada tugas petang tu. Ganti mak aku ngajar. Aku tak pernah mengajar. Jadi, semua urusan aku, aku atur sendiri. Mula-mula tu aku blank tak tau nak buat apa. Ye la, aku baru balik first driving class aku. Mestilah aku bingung tengah-tengahhari macam ni. Mak bapak aku tak ada. Aku try tenangkan keadaan. Aku pikir satu-satu. First, mestilah aku kena bersiap dulu. Aku tak tau aku nak bawak apa pergi sekolah. Aku ingat-ingat balik apa mak aku bawak kalau dia nak pergi sekolah. Mestilah beg dia. Aku tak tau apa ada kat dalam beg dia. Aku bawak je pergi sekolah. Sampai sekolah, mestilah aku malu nak masuk. Dan aku tak tau nak pergi mana. Bertenang puza. Aku cuba pujuk diri. Aku pikir satu-satu. Mestilah mula-mula sekali aku kena pergi pejabat dulu. Masuk pejabat. Aku salam dulu dengan ustazah-ustazah yang ada. Aku bagitau mak aku masuk hospital. Nasib baik diorang dah kenal aku. Kalau tak. Ish, sapa nih? Mestilah aku malu nak kenalkan diri. Diorang ni dulu ustazah-ustazah  aku jugak. Dan kawan-kawan mak aku. Tu yang kitorang saling kenal mengenali. Bila dah loceng. Sorang ustazah tunjukkan kelas aku. Ish, seganlah pulak nak masuk kelas. Mestilah budak-budak pelik. Ustazah baru kan. Aku buat selambe. Lagak bagai seorang guru.

Hari first tu, aku banyak bertanya-tanya pada murid-murid apa yang biasa ustazah sebelum ni mengajar. Buat latihan macamana, baca macamana, kalau ustazah nak masuk nak keluar macamana dan apa-apa yang patut. Itulah dia pengalaman hari first aku. Itulah dia duty aku sepanjang cuti 5 minggu tu.

Tapi panas tak sampai petang. Aku kena tempuh jugak hujan. Masa cuti tu jugak aku dapat tanda ekzos. Dah tua-tua pun kena ekzos. Aku dapat hadiah tu masa ambik adik aku balik sekolah. 2 orang kat belakang dengan 2 beg besar-besar kat depan. Macamana entah aku lalu kat batu kelikir. Licin rupanya. Terjatuhlah. Dahlah bawak motor orang. Dolah masa tu darjah 1. Dia nangis. Aku gabra la. Aku suruh Amin angkat motor bawak rumah tuannya. Aku dah rasa kaki aku kena ekzos. Aku rasa melecet. Sebab lepas tu kena tempat pijak kaki. Sebab adik aku nangis, aku tak sempat nak tengok. Bila aku tengok kaki aku, adik aku terdiam. Syabas untuk aku dapat hadiah tu. Tandanya masih ada walau dah 3 tahun berlalu.

Satu lagi hujan yang aku kena tempuh. Aku terpaksa sekali sekala ponteng kerja semata-mata nak buat tesis. Aku buat tesis pasal pusat serenti. Pengalaman best untuk aku. Walaupun sampai tension-tension dibuatnya. Alhamdulillah aku puas hati dengan kerja aku.

Dan ini dia hujan paling lebat yang aku tempuh sampai aku pun hujan. 3 kali dik. Aku ambik lesen. 2 kali tak lulus. Sampai aku fobia bila lalu je depan sekolah memandu tu. Kali pertama aku relax lagi. Tak ada apa-apa yang mengusik hati aku walaupun sedih jugak sebenarnya. Kali ke-2 tu lah aku banjir. ‘pasal pe’. Tu yang selalu aku ulang. ‘pasal apa’. Udah le tu. Benda dah berlalu. Lagi pun aku dah najah. Kali ke-3 tu baru lulus. Tapi aku tak gembira dengan kelulusan tu sebab 2 kegagalan yang lalu.

Huh, macam-macam rupanya cerita aku. Aku tak sangka. Rupanya aku ada macam-macam pengalaman hidup. Aku ingat aku ni biasa-biasa je. Tak ada apa-apa. Rupanya ada jugak benda yang boleh dibuat cerita walaupun tak seberapa.

**********

Haha.. itu je yang boleh dipublishkan. Banyak jugak cutting-cutting tu. Sebab haha.. segan nak diceritakan. Jiwa budak-budak lagi masa tu. Sampai nak katanya budak-budak, dulu kat Mesir surat menyuratnya guna emel. Masa tu facebook mana ada lagi. Dan emel tu saya guna sampai saya bekerja. Tapi nicknamenye ngada-ngada. Bila nak hantar emel pada kawan kerja, nickname tu yang naik. Try tukar tak boleh pulak. Last-last buat emel baru, haha. Kalau kawan tu rapat takpe gurau-gurau camtu. Ni emel nak hantar PPD atau guru-guru sekolah lain. Tak ke memalukan diri sendiri jadinya.

Bila dimuhasabah-muhasabah balik sebenarnya dewasa ini cabarannya lebih besar lagi. Kalau dulu cabarannya hanya bermain sekitar diri sendiri sahaja. Tapi bila dewasa, cabarannya berhadapan dengan dunia realiti, membina manusia, dalam bidang yang lebih luas dan sangat kompleks. Tapi hakikatnya sama je. Kita usaha selesaikan sahaja semua persoalan matematik yang ada. Itulah kepuasan sebenarnya. Dan sentiasa bercita-cita pada matlamat utama kita, iaitu untuk mencapai keredhoan Allah s.w.t

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews