Tuesday 4 June 2013

Umrah : Sebuah Catatan Perjalanan


Beberapa hari sebelum bertolak.. di kantin sekolah. Rakan tegur ..

“Puzah nak pergi umrah bila?”

“Minggu depan kak, hari Isnin. Saya tak sedia apa-apa lagi kak. Cara tawaf, saie pun saya tak study lagi”

“Ala.. tawaf saie tu senang je. Sini, belajar dengan Kak Ros”

Owh, rupanya ibadah umrah ni tak mesti kena ngadap ustazah je. Cikgu biasa yang bagi nasihat tu!! Kesibukan sekolah sangat mengekang peluang untuk saya hadir ke kursus umrah. Persiapan barang-barang pun tak sedia lagi. Apa yang nak disediakan sangat? Takde nak beli apa-apa kot. Pakai je baju yang ada. List barang : pakaian, barang keperluan (sabun, ubat gigi, berus gigi dll) telekung tak nak bawak, tapi mak suruh bawak. hmm, bawakla 2 helai, kainnya takyah bawak. Ingat nak solat pakai je baju yang kita pakai. Tapi alhamdulillah di sana saya guna telekung itu waktu solat dalam hotel. Lagi? Bawak jugakla barang-barang lain, kamera, buku catatan, marker, dll. Semua itu ada keperluannya.

Di dataran sekolah. Semasa program sukaneka sempena Hari Guru.

“Kak, ceritalah kat saya apa-apa pasal umrah. Saya tak tau apa-apa ni!”

“Astaghfirullahah Azim.. puzah!!” haha, memang macam tulah selalu gaya Kak Jam. Ustazah Jamriah : antara guru senior yang selalu menjadi rujukan saya tentang apa-apa urusan sekolah. Haha, sampai tension-tension dia kadang bila nampak saya nak mengadap dia.

Antara soalan yang diajukan, apa persiapan yang perlu dibawa? Ustazah Jamriah pun insya’ Allah akan sama-sama menunaikan umrah cuti ini. Cumanya saya pergi seminggu awal dari mereka (Ustazah Jamriah, Cikgu Asmahani, Cikgu Adrine Hani, Cikgu Yusnita dan Cikgu Nor Azma) 6 orang guru sambbst akan mengerjakan umrah cuti sekolah ini.

Adalah beberapa amanat dan nasihat. Bab-bab macam ni memang kena tanya orang yang berpengalaman, sambil ditambah nasihat dan hasil pengalaman Ustazah Faridah yang memang sengaja saya duduk di tengah-tengah mereka untuk mendapat kursus personal secara ekspress sambil mengadap aktiviti sukaneka hari guru.

“Kak...,”
Owh, tak terkata, “…… saya kena bawak orang sebenarnya kak.. saya tak kenal pun orang tu camne. Ok ke.. tak ok ke.. orang tua.. lebih kurang sebaya mak saya.. dia ada kencing manis darah tinggi.. kaki sebelah dah potong.. berkerusi rodalah sepanjang kat sana. Sebenarnya…… saya masih tak ikhlas lagi nak tolong dia..”

“Ya Allah, puzah!! Janganlah camtu!!”

“Itulah.. tengah try ikhlaskan diri. Asal plan nak berdua je dengan suami. Nak panjat-panjat jabal rahmah, bukit nur, tengok gua hira’, jalan-jalan.. tapi dah macam ni. Saya pasrah jelah kak.. Saya redha tak pergi tempat-tempat tu”

“Puzah!! Camnilah, nanti akak bagi buku. Buku tu bagus. Dia bukanlah buku kaedah umrah, tapi cerita pengalaman haji. Sekurang-kurangnya kalau puza baca, puza rasa ikhlas nak tolong orang”

“buku prof Dr Muhd Kamil ye? Owh, saya ada buku tu”

***

Beberapa minggu sebelum umrah.

“Puza, kat sana nanti kita kena bawak orang tau. Ada orang tu mintak tolong kita bawakkan mak dia.” Suami mulakan cerita.

Dalam hati ini “owh.. Apakah.”

“Dia dah lama cari orang yang boleh bawakkan dia umrah. Anak dia kata dia boleh urus diri sendiri. Orangnya berkerusi roda nanti. Kita cuma tolak kerusi dia je” Saya cuma mampu terdiam.

***

Suatu hari..

“Abang.. puza sebenarnya tak ikhlas.” Hati ini bersuara juga.

Suami peluk erat bahu ini tanpa berkata apa. Aku tahu, maksudnya, dia mohon aku terima. Sejak itu saya usaha untuk terima sepenuh ikhlasnya. Satu persatu aku kutip kembali kata-kata azimat yang pernah dilontarkan ibubapaku sejak aku kecil sehingga diri ini diamanahkan kepada sang suami. Antaranya, “Susah, buat cara susah. Senang, buat cara senang” banyak maksudnya kata-kata ini. Ia menuntut kita redha, tak berlebih-lebihan, tak tamak, tak layan kehendak hati, tak terpengaruh melihat kesenangan orang lain, tak menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Haha, itulah.. dulu nak sangat jaga mak pergi umrah. Tapi mak dengan bapak pergi umrah awal pulak. Diorang pergi awal tahun baru-baru ini. Bulan 1 entah bulan 2, tak berapa ingat. Mak pun berkerusi roda kat sana. Bapaklah yang tolak. Dah nak sangat layan orang tua, sekarang terimalah!

***

Hari bertolak.

Tengahari itu ibubapa saya dan suami, juga adik-adik saya dan suami sudah berkumpul di rumah saya. Saya masih di tingkat atas menyiapkan diri. Tiba-tiba suami naik dan meletakkan diri di atas katil. Agak lama juga dia berbaring.

“Eh, apa tak siap lagi ni? Dah la, pergilah mandi sana. Dah pukul berapa dah ni!”

Dia masih termenung jauh. Apalah yang difikirkannya.

“Bang, dahla cepat. Nak solat musafir sama-sama.” Sempat cuti hujung minggu kemarin saya mencari buku-buku yang sesuai. Antaranya buku panduan dan doa sepanjang umrah yang boleh digantung di leher. Buku itulah yang nasihatkan saya supaya solat musafir dahulu sebelum keluar rumah.

“Puza solat sendirilah” balas suami. Apahal la pulak laki aku ni. Ku lihat air mukanya lain macam. Adoi, time-time macam ni pulak dia macam tu.

“Kenapa ni sayang?” Aku cuba mengupas isi hatinya.

“Puza rasa susah ke?” Eh, kenapa pulak tanya soalan pelik time-time macam ni?

“Puza dah ikhlas kan!?” Balasku meyakinkan hatinya.

“Puza sokong abang ye.” katanya.

“Mestilah Puza sokong abang.” Alahai, sayang kat suami.

“Abang sampai tak jadi makan tadi. Bapak asyik kata susah bawak orang uzur ni. Nanti ko susah, nanti ko susah, depan mak abah abang.”

“Ala.. abang macam tak biasa dengan bapak. Dia memang macam tulah. Jangan ambik hatilah”

Dalam peruntukan masa yang singkat itu, sempat jugak bapak balik ambik kerusi roda kecil yang pernah mak guna masa mak dan bapak pergi umrah baru-baru ini.

***

Solat Zohor dan Asar saya jamakkan takdim di KLIA. Owh, bapak tak dapat tunggu lama sebab dia tak dapat ambik cuti petang itu. Dia perlu bersegera ke sekolahnya. Sempat dia berpesan, kat sana nanti tolong dahulukan dan utamakan orang tua. Owh, ok insya’ Allah.

Pertama kalinya berjumpa dan berkenalan dengan Acik Raayah. Insan yang diamanahkan kepada kami untuk dijaga. Amin adik sayalah yang banyak berborak dengan anak Acik Raayah. Aku? Haha, menyendeng dengan mak.

“Kak Jah tak pandai nak borak dengan dia la mak.” Haha, memang itulah pattern aku. Tak reti nak beramah dengan orang.

“Acik, tukar kerusi inilah senang. Kerusi ni kecik sikit.” Suami cuba menunaikan hajat bapak. Acik tu ok je. Sepanjang berada di Mekah dan Madinah dia takde masalah. Dia ikut je kitorang. Kami pun tengok juga kemampuan dia. Kasihan jugak dia keletihan. Kalau dia mampu ke Masjidil Haram, kami bawa.

***

Dalam kapal terbang.

Eh, kapal terbang apa ni? Peramugarinya semua orang malaysia. Yang sangat sangat sangat bagusnya pakaian mereka sempurna menutup aurat! Elok je pun pakai tudung. Cuma satu je kurang, baju singkat atas punggung. Kalau baju tu labuh bawah punggung baru betul-betul sempurna. Ada seorang yang berpakaian biasa sibuk ke hulu ke hilir. Asalnya saya fikir dia penumpang biasa, tapi bila sibuknya macam dia pun antara anak kapal dan selalu berurusan dengan peramugara di situ, saya fikir dia bos kapal ini kot. Di hadapan kami terpampang besar logo syarikat Muhammadiah Travel. Suami kata, biasa Muhammadiah memang book satu kapal. Nak balik ke Malaysia dari lapangan terbang Madinah baru saya tahu status kapal terbang itu. Kebetulan jumpa bekas anak murid di situ. Amir Syazwan. Dia dah sebulan berada di tanah suci itu bekerja di bawah syarikat Muhammadiah. Katanya Muhammadiah beli kapal terbang itu dari NAS Airlines. Huh, bapak kaya!

“Kalau ustazah perasan, orang yang pakai baju biasa yang sibuk-sibuk dalam kapal terbang masa ustazah nak ke sini itulah ayah saya.” Kata Amir Syazwan.

***

Di lapangan terbang Jeddah.

“Jalan, jalan, mustaqim, mustaqim, terus.” Pandai arab ni cakap  melayu. Owh, memang tak bagi kami berhenti berkumpul tengah jalan. Betul jugak. Mengganggu orang nak lalu.

Di kawasan lapang sementara menunggu bas. Masih di dalam lapangan terbang. Automatiklah kami berhenti dan berkumpul sebab tak tahu nak ke mana. Padahal kiri kanan tu banyak tempat-tempat duduk.

“Ba, ba, silikon, silikon.” Apalah arab ni cakap. Lama jugak saya mengamat-amati maksudnya. Kalau tak faham macamana nak tahu apa dia nak. La.. cakap melayu ke.. “Bang, bang, silakan, silakan” apsal jauh betul bunyinya! Arab-arab ni mintak kita duduk kat kerusi la.. dia tak bagi kumpul tengah jalan.

Solat Maghrib dan Isya’ kami jamakkan takhir di lapangan terbang Jeddah.

***

Perjalanan menaiki bas dari lapangan terbang Jeddah ke Mekah mengambil masa beberapa jam. Sesampainya di Mekah, kami cek in hotel, letak-letak barang dan segera berkumpul di lobi untuk bersedia ke Masjidil Haram menyempurnakan umrah. Malam hampir subuh. Ketua rombongan berpesan, try tawaf dulu sebab dah nak subuh, kalau tak sempat habis tawaf, habiskan selepas solat subuh nanti.

Sejak di KLIA saya tak dapat dengar setiap taklimat yang diberikan sebab di KLIA anak-anak meragam, maklumlah menunggu lama. Dan sepanjang perjalanan, saya bersama Acik Raayah, agak sukar untuk saya merapat mendengar taklimat. Takpelah, apa-apa hal, saya tanya suami atau rakan-rakan lain.

Bila jamaah mula bergerak keluar hotel, saya cari suami. Owh, masih di belakang. Saya tunggu dia. Bersesak-sesak orang keluar. Kesukaran mendapatkan laluan, saya biarkan jamaah lain ke hadapan dahulu. Lagipun suami masih di belakang. Tiba-tiba.. eh, suami menonong ke hadapan.

“Abang!” Saya memanggilnya dalam hati. Oh, tolonglah dengar suara hati ini!

“Abang!” Saya menjerit dalam hati.

“Allahu Akbar! Allahu Akhbar! Allahu Akbar!” Hati ini dah mula menjengkel. Laluan yang curam, dan kadang roda kecil kerusi roda ini masuk ke dalam lubang menambahkan lagi kejengkelan hati ini!

“Oh, Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Acik ni agak berat. Badannya besar. Saya usaha menggunakan tenaga yang ada setiap kali berada di lereng jalan yang agak curam. Kang tak pasal berlanggar dengan bas yang sedang parking di situ. Oh, kudratku mula goyah lagi-lagi bila ia bercampur dengan jiwa yang berkecamuk.

“Mana abang ni? Mana abang ni?” Kelibatnya tak kelihatan disebalik ribuan manusia yang sedang berbondong-bondong menuju ke Masjidil Haram.

Saya ke tengah jalan raya. Owh, takde kenderaan. Aku mengejar selaju mungkin untuk mencari suamiku. Sesekali saya beralih ke tepi bila ada kenderaan datang dari hadapan. Nafas dan degupan jantung ini dah macam orang berjoging. Sedap je aku hirup debu-debu tebal kota mekah ini. Lantaklah, hati ini sedang marah.

“Oh, itu dia!” Hanya selang beberapa langkah sahaja. Tapi saya masih tetap tak dapat mendekatinya disebabkan himpitan manusia yang terlalu ramai.

“Oh, tolong ada ruang, tolong ada ruang.” Nampak je ruang kosong, saya terus menyelinap dan menyelinap. Akhirnya… fuh, alhamdulillah..

Riak suami menyapa macam tak ada apa-apa berlaku.

“Abang!! Bla bla bla bla..” Saya mula meluahkan rasa. Letih tau dengan jalan tidak rata dan tempat yang belum kita biasa. Dah tak peduli Acik Raayah dengar saya membebel.

Dikesempatan itu sempat saya mendongak mengkagumi binaan Masjidil haram yang tersergam. Subhanallah! Saya tenangkan kembali jiwa ini. Saya tak mahu disebabkan hati yang tidak stabil membuatkan saya terlepas pandangan PERTAMA saya menyaksikan rumah Allah yang sangat mulia ini. Bersedia melangkah masuk ke Masjidil Haram dengan ucapan tahiyatul masjid melalui pintu Malik Abdul Aziz dan terus ke hadapan menuju Kaabah.

اللهم انت السلام ، و منك السلام ، و إليك يعود السلام ، فحينا ربنا بالسلام ، وادخلنا الجنة دار السلام ، تباركت ربنا و تعاليت يا ذا الجلال و الإكرام .

“Ya Allah! Kau Maha Sejahtera, dariMu segala kesejahteraan, dan kepadaMu kembali segala kesejahteraan, maka hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dengan kesejahteraan, dan masukkanlah kami ke dalam syurga negeri yang sejahtera. Maha Suci Engkau Tuhan kami, dan Maha Tinggi Engkau wahai Yang Maha Agong lagi Maha Mulia.”

Allahu Akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Betapa aku terasa suatu kerahmatan bila dapat menyaksikan kaabah dihadapan mata. Sambil mencari-cari laluan wheelchair ke kawasan tawaf sambil mata dan jiwa ini beriringan bersama kaabah. Dari satu laluan ke satu laluan. Semuanya dijaga oleh askar. Dan askar-askar ini tak membenarkan kami turun ke dataran kaabah. Apahal?!!

“Tawaf, tawaf.” Suami minta izin daripada askar tersebut.

Owh, rupanya sudah masuk waktu solat subuh. Sebab itulah semua yang sedang tawaf diminta berhenti tawaf.

“Jalan, jalan, terus, terus.” Petugas wanita yang berpakaian serba hitam dan bertutup muka sehingga langsung tak nampak matanya menunjukkan arah yang sepatutnya kami pergi. Tak sangka dia berbahasa melayu.

Saya dan suami dipisahkan! Owh, saya mula rasa takut. Takut sesat. Di tempat yang masih saya belum biasa dan dibanjiri ratusan ribu manusia.

“Abang jangan solat jauh-jauh tau! Tunggu Puza kat sini.” Dalam keadaan kelam-kabut itu sempat saya memerhatikan keadaan sekeliling bagi memastikan tempat yang akan kami berjumpa nanti.

“Ya ibu, atas, atas.” Petugas serba hitam itu meminta saya ke tingkat atas. Alahai, stokin yang licin ini menyukarkan saya menolak kerusi roda Acik Raayah. Lalu petugas itu membantu saya menolak kerusi itu dan terus meletakkan Acik Raayah di sof yang betul. Saya juga melilau-lilau mencari ruang untuk solat. Subhanallah! Di hadapan saya tersergam kaabah, rumah Allah yang penuh dengan segala kemuliaan. Alhamdulillah aku titipkan. Alhamdulillah.. Berderau jiwa ini. Satu persatu kisah kemuliaannya terlintas di fikiran ini. Sejarahnya yang aku baca, yang aku belajar dari guru-guruku. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Selesai subuh, mudah sahaja saya berjumpa dengan suami. Mungkin dia solat tidak jauh. Sedang tempat solat lelaki hanya di sebelah tempat solat wanita. Tapi kami terpaksa menunggu dan berbaris lama untuk turun ke dataran tawaf. Owh, memang itulah yang selalu buat aku perlu bersabar disepanjang saya berada di dua kota Haramain ini. Wheelchair perlu dikemudiankan menunggu serbuan manusia yang berpusu-pusu menunaikan tawaf. Bila keadaan agak reda baru kami dibenarkan turun tawaf.

Tawaf kali pertama agak kelakar. Almaklumlah, takde pengalaman. Daripada hasil pembelajaran kata dada tak boleh mengadap kaabah. Risau dengan keadaan itu membuatkan jasad ini kaku. Hanya kaki yang berjalan. Kepala pun tak berani berpaling ke mana-mana arah. Hanya anak mata sahaja yang memerhatikan arah. Menjadi masalah bila terpisah dengan suami. Haha, gara-gara tak berani memalingkan kepala.

Selepas tawaf, mencari tempat solat di belakang makam Ibrahim. Ada ruang insya’Allah setiap kali kami mahu solat di situ atau di hadapan Multazam. Syaratnya kena pandai cari ruang kosong, pandai menyelinap dan solat di tempat yang dibenarkan. Walau keadaan sesak macamanapun insya’ Allah ada ruang untuk kita. Kena pandai cari ruang yang strategik. Biasanya tepi penghadang. Insya’ Allah takde orang ganggu. Tengok jugak siapa di kiri kanan kita. Kalau diluar waktu solat fardhu, tempat tu memang bercampur lelaki dan perempuan. Selalunya saya akan cari tempat sebelah perempuan. Saya selalu harap suami dapat solat di sebelah saya. Untuk saya sengaja solat sunat berjamaah bersamanya. Tengok keadaanlah. Kalau tiada ruang bersama, kami solat jauh-jauh. Bila ruangnya sesuai, saya atau suami yang akan hadir kepada masing-masing untuk solat bersama. Selalunya ruang itu akan ada. Di sebelah saya perempuan dan di sebelah dia lelaki.

Kelebihan berada di tanah suci ini, lidah kita masin. Hanya tanamkan hajat dalam hati, insya’ Allah tertunai. Tapi ujiannya di sana sentiasa ada. Contohnya bila mencari seseorang. Suami atau rakan. Kita berharap dapat berjumpa. Tak lama lepas tu jumpa. Kita sakit-sakit badan, mohon dihilangkan lenguh-lenguh itu, alhamdulillah sihat sehingga mampu menyempurnakan lengkap tawaf sunat padahal pada asalnya hampir-hampir nak batalkan niat bertawaf, kemudian niat bertawaf seberapa pusingan yang mampu tapi akhirnya dapat bertawaf tujuh pusingan sekali gus. Alhamdulillah. Ujian itu datang, kita mohon, dan kita terlepas dari ujian itu. Kemudian datang lagi satu ujian dan kita mohon lagi dan dalam waktu itu juga kita terlepas dari ujian itu dan begitulah seterusnya. Dan akhirnya kita pulang ke malaysia dengan jiwa yang terdidik dek pengajaran dan pelajaran yang kita timba di bumi Mekah yang penuh barakah ini.


 bersambung...

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews